M.U.L.U.T.

Ahad, 18 Syawal 1434H | 25 Ogos 2013
7:59 a.m.
Indera Mahkota 8, Kuantan, Pahang.

Di suatu petang.....

Aina (5 tahun) berlari-lari anak kemudian melompat-lompat kegembiraan. "Kita dah pandai eja 'kakak'! K.A. 'KA' K.A.K 'KAK'..KAKAK!" jerit Aina bahagia. Ustazah Sakinah tersenyum melihat telatah Aina yang lincah. Timbul di mindanya untuk menduga kebolehan anak kecil itu.

"Wah! Dah pandai eja 'kakak'. Okay, cuba eja 'mulut' pulak," Ustazah Sakinah cuba menguji.

Aina terdiam. Memerah otak barangkali untuk mengeja perkataan yang disebut Ustazah Sakinah. "Emm...macam mana ya nak eja mulut?" balas Aina sambil berfikir-fikir. Kemudian, laju sahaja dia menuturkan, "M.U. 'MU...L.O.K. 'LOK'..'MULOK'!"
Ustazah Sakinah tersentak. Yakin sungguh Aina dengan ejaannya.

"Hahahahahahahaha!!!" ketawa ustazah Sakinah pecah. Sedikit kurang sopan ustazah itu. Mujur tiada orang di KAFA melainkan Aina dan kakaknya, Akma. Akma turut ketawa. Lucu sekali telatah Aina. Dia termangu-mangu melihat Ustazah Sakinah dan kakaknya ketawa. Hairan barangkali, di mana yang lucu, di mana yang silap dengan ejaannya.

" Bukan 'MULOK' lah. 'MULUT'...'LUT'," Ustazah Sakinah membakukan sebutan sehingga muncung-muncung mulutnya untuk membuatkan Aina faham dan mengeja perkataan dengan betul.

Aina mencuba sekali lagi, " Emm...M.U. 'MU'..L.U.T. 'LUT'..'MULUT' "
"Haaa..baru betul," kata Ustazah Sakinah sambil tersenyum-senyum. Belum habis rasa lucu dengan ejaan Aina yang sebelumnya.

Aina diam sahaja. Mukanya nampak kurang berpuas hati. Tiba-tiba Aina bersuara kembali, " Kalau ikut eja, memang M.U. 'MU' L.U.T. 'LUT'..'MULUT'. Tapi kalau ikut benar, orang sebut 'MULOK'.. "

"Hahahahaha!" sekali lagi Ustazah Sakinah tidak dapat menahan ketawa. :)) :)) :))

No comments: