Warkah buat Perdana Menteri Malaysia..

Jumaat, 6 Mei 2011.
12:00 p.m.
Indera Mahkota 16, Kuantan, Pahang.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum w.b.t.

Ke hadapan Perdana Menteri Malaysia,

Saya berharap semoga Datuk Seri sihat walafiat dan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik pada hari ini. Tujuan saya menulis warkah ini adalah untuk menzahirkan rasa simpati saya terhadap Datuk Seri atas segala kejadian buruk yang terjadi pada kerajaan pimpinan Datuk Seri yakni negara Malaysia kita yang tercinta ini. Saya bersimpati terhadap Datuk Seri apabila ramai orang yang mengutuk, mengumpat dan mengata Datuk Seri sedangkan Datuk Seri telah berpenat lelah ke hulu dan ke hilir, ke sana ke mari melaksanakan tugas sebagai pemimpin dan pentadbir negara. Tapi usaha penat lelah Datuk Seri itu saya lihat seakan-akan tidak berkesan dan tidak dihargai rakyat apabila penyakit-penyakit sosial masih berleluasa di bumi bertuah ini. Kadar jenayah seperti rompak, samun, ragut, rogol, bunuh, zina dan pembuangan bayi semakin menjadi-jadi, semakin berleluasa lewat ini.

Saya sendiri berasa gerun, kasihan dan simpati terhadap Datuk Seri apabila mengenangkan apakah yang Datuk Seri akan jawab ketika dihisab di Padang Mahsyar kelak atas kegagalan kerajaan pimpinan Datuk Seri ini. MasyaAllah.

Datuk Seri,
Sebagai saudara seagama yang mengasihi saudaranya, saya sangat bermohon agar Datuk Seri dapat mentadbir Malaysia ini menurut syariat Islam. Janganlah menolak ajaran-ajaran dan tuntutan Islam kerana Islam itu agama yang diredhai oleh Allah s.w.t. Tuhan yang Maha Mencipta. Dia yang mencipta alam ini dan seluruh isinya, maka Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk makhluk ciptaanNya. Carilah keredhaan Allah meskipun mendapat kejian manusia. Janganlah mencari keredhaan manusia tetapi dimurkai Allah kerana manusia hanyalah makhluk dan setiap yang kita peroleh di dunia ini tidak kekal. Apabila nyawa terputus, segala yang kita perolehi di dunia ini akan kita tinggalkan.

Datuk Seri,
Saya bukanlah orang yang hebat berkata-kata apatah lagi berbahas berpidato. Ilmu agama saya tidaklah tinggi. Ilmu keduniaan saya juga tidak tinggi malah pada hemah saya, Datuk Seri pastinya lebih bijak dan tinggi ilmunya berbanding saya. Jika tidak, masakan Datuk Seri bisa memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia, menjalankan urusan pentadbiran negara dan berdiplomasi dengan negara-negara luar. Memang cukup hebat. Tapi pada fikiran saya, Datuk Seri akan menjadi lebih hebat jika segala kekacauan di Malaysia ini dapat dibendung.

Datuk Seri pasti dilihat sebagai pemimpin yang berjaya jika tiada jenayah berlaku di Malaysia ini.
Datuk Seri pasti dilihat sebagai pemimpin yang bagus jika masalah pengangguran dapat diatasi.
Datuk Seri pasti dilihat sebagai pemimpin yang dikagumi jika tiada rakyat yang miskin dan hidup melarat.
Datuk Seri pasti dilihat sebagai pemimpin yang disegani jika setiap rakyat di Malaysia ini berakhlak mulia dan saling menghormati.
Datuk Seri pasti dilihat sebagai pemimpin yang hebat jika Malaysia ini menjadi bumi yang aman dan setiap rakyat sentiasa hidup dengan gembira.

Mungkin Datuk Seri berfikir, "Bagaimana semua itu bisa terjadi?", "Semua itu mustahil terjadi."

Tiada yang mustahil, Datuk Seri. Jika Datuk Seri mentadbir negara sebagaimana Rasulullah s.a.w. dan Khulafa Ar-Rasyidin memimpin ummah, insyaAllah Allah akan bersama-sama Datuk Seri. Kunci utamanya adalah MENCARI KEREDHAAN ALLAH S.W.T.



Di sini, saya sertakan video ceramah dari Ustaz Kazim Elias al-Hafiz sebagai sumber rujukan warkah ini dikarang. Seperti kata al-fadhil ustaz, ambil nasihat daripada orang yang alim. Jadikan Al-Quran, Hadis dan sunnah Rasulullah sebagai rujukan.

Setakat ini sahaja dahulu warkah saya. Andai Datuk Seri berkesempatan untuk membaca warkah ini, saya harapkan Datuk Seri berfikir dan bermuhasabah kembali pengakhiran bagaimana yang Datuk Seri inginkan. Sama ada Husnul Khatimah atau Su'ul Khatimah. Bertaubatlah sementara waktu dan kemampuan masih ada kerana andai nyawa diambil, maka terputuslah kita dari segala urusan di dunia. Jutaan maaf dari saya andai ada tersilap bahasa dan kata yang mengguris perasaan Datuk Seri. Setiap yang baik itu datangnya dari Allah s.w.t. Yang buruk juga dari Allah tapi atas kelemahan saya sendiri.
Wallahualam.

Wassalam.

No comments: