Islam itu indah

Rabu, 20 April 2011.
10:10 a.m.
Indera Mahkota 16, Kuantan, Pahang.

Bismillahirrahmanirrahim.

" Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. "
(Surah Al-Fatihah: Ayat 6-7)

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini kita dapat lihat pelbagai 'penyakit' dalam masyarakat kita. Jenayah rompak, samun, rogol, bunuh, pembuangan bayi dan macam-macam lagi kejelikan manusia dapat kita dengar saban hari. Pelakunya siapa? Kebanyakan yang kita baca di akhbar-akhbar, dan kita dengar di radio mahupun tv adalah orang Melayu yang beragama Islam. MasyaAllah.
Mereka ini telah membuatkan Islam itu seolah-olah sangat jelik untuk dijadikan pegangan. Walhal di mana silapnya? Jom kita semak satu per satu dari akar umbinya.

Pertama, kita selidik semula rukun Islam:

1. Syahadah - berikrar bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan Muhammad itu Rasulullah.

2. Solat 5 waktu sehari semalam

3. Berpuasa di bulan Ramadhan

4. Mengeluarkan zakat

5. Mengerjakan haji di Baitullah (bagi yang berkemampuan)


Lima perkara di atas merupakan perkara yang wajib dilaksanakan bagi seorang yang beragama Islam. Namun, tunjangnya di mana? Sebelum bersyahadah, seseorang itu perlu beriman terlebih dahulu.

Ok, kita semak rukun iman pula:

1. Percaya kepada Allah.
Percaya bahawa Allah itu wujud, Dia lah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta seluruh isi alam. Dia lah juga yang mentadbir alam ini.

2. Percaya kepada malaikat.
Malaikat itu pesuruh Allah yang sentiasa taat pada perintah Allah, tidak pernah derhaka.

3. Percaya kepada Kitab-kitab.
Kitab-kitab diwahyukan kepada Rasul pilihan. mengandungi peringatan dan perintah Allah s.w.t terhadap sekalian makhluk cipataanNya.

4. Percaya kepada Rasul.
Rasul dilantik oleh Allah untuk memberi peringatan dan bimbingan kepada umatnya supaya melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.

5. Percaya kepada hari akhirat.
Hari di mana seluruh makhluk dibangkitkan semula untuk dihitung amal perbuatanNya. diberi ganjaran kesenangan di syurga bagi orang yang beriman dan balasan neraka bagi yang kufur ingkar.

6. Percaya kepada Qada' dan Qadar.
Qada' - takdir yang memang telah ditetapkan oleh Allah di dalam Luh Mahfuz. tak akan berubah.
Qadar - takdir yang ditetapkan oleh Allah tetapi boleh berubah bergantung kepada usaha seseorang itu.

Disebalik semua rukun iman ni, kita semak pula erti sebenar iman. Apakah yang dikatakan iman itu?
Iman bermaksud percaya dan yakin dengan hati, mengaku/menuturkan/melisankan dengan lidah dan mengamalkan dengan perbuatan. Tindak-tanduk seorang yang benar-benar beriman perlu, WAJIB berlandaskan apa yang disyariatkan dalam Islam. Yang diperintahkan oleh Allah melalui ayat-ayatNya yang termaktub dalam kitab al-Quran. Sebab itulah kita kena kembali kepada al-Quran, baca, hayati, fahami dan laksanakan dalam kehidupan.

Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran) yg Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yg meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayat petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.
(Surah Al-A'raf: Ayat 52)
Penyakit 1: Kejadian rompak & samun
kenapa ini berlaku? mungkin kita nak salahkan perompak tu. tapi cuba kita tengok, yang kena rompak tu orang yang kaya ke miskin? pernah dengar tak orang miskin, rumah dia kena rompak? takde kan? orang kaya-kaya, rumah besar, kereta banyak, perhiasan dalam rumah mahal-mahal yang kena rompak. betul tak?

Firman Allah:

Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.
(Surah Al-Furqan: Ayat 67)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.
(Surah Al-Baqarah: Ayat 277)

jika perintah Allah ini benar-benar diterapkan dalam kehidupan, insyaAllah kes-kes rompak ni dapat dibendung. Ya lah..kalau semua orang kaya pun berzakat, membelanjakan hartanya ke jalan Allah, takde lah orang yang hidup tersepit. maka tak berlakulah jenayah tu, kan?


Penyakit 2: Gejala sosial - penzinaan berleluasa, kes rogol & buang bayi.

Firman Allah:

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
(Surah An-Nur: Ayat 30)

Ayat ni merupakan perintah Allah kepada orang-orang LELAKI yang beriman supaya menjaga pandangan mereka daripada memandang yang haram. apa yang haram tu? aurat wanita. tapi apa yang berlaku hari ni? ramai yang menghadap internet tengok video-video pornografi, gambar-gambar lucah yang membangkitkan syahwat.

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
(Surah An-Nur: Ayat 31)

Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah Al-Ahzab: Ayat 59)

dua ayat di atas ni pula perintah untuk PEREMPUAN yang beriman. Saidatina Aisyah r.a. berpesan, "Sebaik-baik wanita adalah yang tidak memandang dan tidak dipandang oleh lelaki." kenapa begitu ya? kepada kaum Hawa, sedar tak sebenarnya setiap inci tubuh anda Allah ciptakan sangat indah? senyuman dan lirikan mata wanita mampu menggoyah iman lelaki. sebab tu Allah larang wanita mempamerkan kecantikan diri. Allah suruh labuhkan pakaian. pakai pakaian yang longgar, warnanya tak menarik perhatian. tapi yang berlaku hari ni, kecantikan wanita tu dieksploitasi sepenuhnya. iklan-iklan komersil kat tv dan akhbar semua pakai model wanita. sekarang pulak timbul macam-macam fesyen yang dikatakan "fesyen muslimah". Astaghfirullahalazim..
perintah menutup aurat yang Allah s.w.t buat adalah bertujuan untuk memelihara wanita daripada menjadi perhatian lelaki dan untuk melindungi wanita daripada perbuatan jahat lelaki tak bertanggungjawab. tapi nampaknya dah semakin sesat "muslimah" yang ada pada hari ini. bila berlaku kes-kes rogol, marah kat lelaki. sedangkan siapa yang mula cari nahas? tepuklah dada, tanya iman. kalau kita benar-benar beriman dengan ayat-ayat Allah, kita akan ikut anjuran yang telah ditetapkan dalam Al-Quran.

saya dah penat pulak nak mengarang. sekarang dah jam 3:44 p.m. dari awal saya mula menaip, baru setakat ni je yang dapat saya fikir (plus siapkan keje, pegi makan dan solat skali dah..hehe). saya ni manusia yang lemah. inilah masalahnya, tak hafal Quran. nak bagi nasihat, menggagau-gagau rujuk tafsir, cari ayat yang berkenaan. nanti saya sambung lagi pasal keindahan Islam. nak study dulu baru tak penat otak nak mengarang macam sekarang ni..hehe. :)
banyak lagi benda nak dikupas sebenarnya.

semoga Allah memberi kita hidayah dan nur untuk kembali ke jalan yang diredhaiNya.

Wallahualam.

No comments: