Isnin, 22 Syaaban 1434H | 1 Julai 2013
9:39 a.m.
Indera Mahkota 8, Kuantan, Pahang.
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.
Wah! Macam power je tajuk kali ni. Mungkin ada yang musykil dan berkata, "Mana hang tau Cik Kinah? Hang punya marital status pon 'cik' lagi.."
Senyum. :)
Baiklah. Hidup kita dalam era globalisasi ni memang sangat besar dugaan dan cabaran dalam membesarkan apatah lagi mendidik anak-anak. Walaupun saya belum kahwin, belum punya anak tetapi pengalaman hidup sendiri, pemerhatian pada perjalanan hidup orang lain dan sedikit ilmu yang saya ada banyak buat saya berfikir.
Soalan pertama yang patut kita fikir adalah apa tujuan berkahwin? Adakah atas dasar keimanan kepada Allah s.w.t. dan mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. dan para nabi ataupun sekadar memenuhi tuntutan nafsu dan fitrah sendiri?
Benar perkahwinan itu menghalalkan apa yang haram antara lelaki dan wanita. Tapi adakah hanya setakat itu?
Soalan kedua. Boleh dikatakan setiap pasangan yang berkahwin punya keinginan untuk memiliki zuriat pewaris sendiri, penyambung keturunan. Selepas itu apa? Anak-anak ini, adakah sekadar untuk bagi keseronokan pada kita dengan bagi dia pakai comel-comel, main-main dengan dia, suka tengok dia dah pandai meniarap, duduk, merangkak, ketawa?
Ataupun anak-anak ini sebagai jaminan hidup kita di hari tua, sebagai penjaga kita esok hari andai bertemu usia tua?
Atau anak-anak sebagai pelaburan akhirat kita? Pembekal pencen kubur kita, aset kita untuk ke syurga?
Rata-rata ibu bapa hari ini sangat pentingkan pendidikan anak-anak. Ibu bapa berusaha cari pusat asuhan atau didikan terbaik untuk akademik anak-anak. Biasanya kalau nak cari tadika untuk anak tu, akan survey yang terkenal dengan budak-budak cepat pandai baca BM dan boleh baca atau bertutur bahasa inggeris. Bila dah masuk sekolah rendah atau menengah, tak cukup dengan kelas-kelas di sekolah, carikan tusyen pulak untuk anak-anak. Bila musim cuti sekolah, hantar anak-anak ke kem motivasi bila pencapaian dan perangai anak-anak kurang memberangsangkan. Kan?
Ya. Tahniah buat ibu bapa yang berusaha gigih untuk pastikan anak-anak dapat pendidikan yang terbaik. :)
Namun begitu (cheh. skema sangat ayat ni), ramai ibu bapa yang lupa bahawa guru pertama untuk anak-anak adalah ibu bapa itu sendiri. Dengan kata lain, diri mereka sendiri. Ibu bapa rela melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak hanya kepada guru semata-mata. Sedangkan guru pada saya hanyalah sebagai pemudahcara, membantu mengajarkan ilmu akademik untuk anak-anak. Selebihnya, pembentukan sahsiah anak-anak terletak pada tanggungjawab ibu bapa sendiri. Rata-rata ibu bapa mengira bahawa pendidikan itu hanyalah akademik semata-mata sedangkan didikan anak ini seharusnya secara holistik. Menyeluruh dari segi akademik dan lebih utama, sahsiah diri.
Bayangkan kita terlalu sibuk menjadi ibu bapa, dengan membekalkan anak-anak pelbagai kelengkapan, keperluan, kehendak dan akademik. Tetapi kita kemudiannya terlalu letih untuk melayan kerenah mereka yang perlukan perhatian dan kasih sayang dari ibu bapa. Dan malang sekali bagi ibu bapa yang menterjemahkan kasih sayang hanya melalui material. Terlalu sibuk memenuhi keinginan dunia dan terlupa untuk mengutip bekalan untuk dibawa ke akhirat.
Anak-anak dilahirkan dengan perangai dan ragam mereka tersendiri. Untuk jadikan anak seorang yang cemerlang, gemilang, terbilang, ibu bapa perlu jadi cemerlang terlebih dahulu. Adakah dengan perlu punya degree, master atau PhD baru dikatakan ibu bapa cemerlang? Tidak.
Kecemerlangan dalam tugas keibubapaan bukan diukur dari sudut akademik. Tapi dilihat dari segi bagaimana kita mendidik anak-anak. Sebab itu untuk jadi ibu bapa yang cemerlang, kita perlu ada ilmu keibubapaan. Jangan berhenti menuntut ilmu. Kenali fitrah anak-anak dan gilap potensi atau bakat yang mereka ada.
Ibu bapa selalu berdoa pada Allah supaya anak-anak cemerlang dalam pelajaran dan hidup. Doa mintak pada Allah supaya anak-anak jadi pemimpin yang hebat satu hari nanti. Jadi saintis yang hebat satu hari nanti. Jadi jurutera, doktor, arkitek yang hebat satu hari nanti. Tapi, ibu bapa lupa untuk doa supaya Allah jadikan diri mereka ibu bapa yang hebat yang dapat bantu menggilap bakat dan potensi anak-anak. Betul?
Makanya, bila dapat anak yang garang atau tegas, dah tension. Bila dapat anak-anak yang tak duduk diam, suka explore sana-sini, suka buat eksperimen sendiri, dah menggelabah dah tambah tertekan. Sedangkan fitrah kecemerlangan anak tu dah terzahir sejak dia kecil. Cuma ibu bapa yang tak tahu macam mana nak pandu dan kilatkan lagi potensi yang ada. Maka, jadi cerita lain. Semuanya terbantut.
Fuhh!
Kalau nak cerita, sampai penuh muka pun tak habis cerita. Rasanya setakat ini sahaja dulu untuk kali ni. Tujuan saya hanyalah nak buka minda sikit aje untuk sesiapa yang sudi baca. Sama ada yang dah punya anak ramai, atau yang belum pun punya anak. Kalau belum ada anak, inshaAllah boleh mula timba ilmu didik anak mulai dari sekarang. Walaupun belum kahwin. Tak salah tuntut ilmu sebagai persediaan. Yang dah ada anak ramai? InshaAllah, belum terlambat untuk buat perubahan. Orang putih ada cakap, "Better late than never", kan?
Anak-anak itu amanah dari Allah. Tanggungjawab ibu bapa untuk bentuk dia sama ada untuk jadi aset ke syurga atau yang bakal mengheret kita ke neraka. Buang ego kita dan berusaha cari ilmu supaya kita dapat jadi ibu bapa yang hebat. InshaAllah. :)
No comments:
Post a Comment