Cikgu Jahat.

Selasa, 20 Rabi'ul Awwal 1424H | 21 Januari 2014
8:51 p.m.
Indera Mahkota 8, Kuantan, Pahang.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Lama tak menaip di ruangan ini. Tak punya idea mahu berkongsi apa. Mungkin juga ada, tetapi kemalasan pula melanda. Untuk kali ini, sedikit cerita ingin saya kongsikan...

Usai solat fardhu Zohor di surau sekolah tengah hari tadi, sedang saya tak berapa khusyuk menadah tangan memohon doa kepada Tuhan, terdengar suara sumbang berkata, " tadi cikgu jahat tu suruh buat kerja Matematik. Cikgu tu tak bagi balik." "Cikgu mana? Cikgu Z?" "Bukan." "Cikgu R?" "Bukan. Alaaa..cikgu Matematik tuuu..cikgu perempuan." "Cikgu H?" "Bukan."

Perbualan mereka terhenti di situ. Barangkali hendak menghormati rakan lain yang sedang menunaikan solat.

* * * * *

Kelas 4 Delima sedikit huru-hara tengah hari ini. Mungkin cikgu terlalu bagi muka waktu kelas sebelumnya, maka murid-murid pun mula cuba pijak kepala. Daripada kelas yang masih dalam keadaan terkawal, tidak terlalu bising dan mendengar arahan, bertukar menjadi bising dan ramai yang tidak mendengar arahan.

" Tengok muka surat 9 pada buku teks. Buat latihan Asuh Minda nombor 1 dan 3 sahaja. Hantar pada saya sebelum balik," muktamad kata-kata cikgu.
Pun begitu, hanya beberapa orang sahaja murid yang menurut arahan, gigih menyiapkan tugas yang diarahkan. Majoriti yang lain? Berbual-bual, bergelak ketawa dan mengusik rakan.
" Siapa yang tak hantar buku, saya tak benarkan balik," cikgu cuba bertegas sedikit.
Asalnya cuma ingin menggertak sedikit. Namun hanya sebilangan kecil sahaja yang mula tergesa-gesa menyiapkan tugasan yang diberi. Ramai lagi yang tidak mengendahkan arahan cikgu.

KRIIIIINNNNGGGG!!!!!

Loceng sekolah berbunyi menandakan tamatnya waktu persekolahan untuk hari ini. Beberapa murid yang duduk di tepi tingkap bergegas mengemas beg masing-masing untuk pulang. Nyatanya, murid-murid itu langsung tidak menulis apa yang diarahkan guru.
" Dah hantar buku ke belum?" soal cikgu dengan nada yang tegas lantaran membuat murid-murid tadi tergamam. Perlahan-lahan beg diletakkan semula dan kemudiannya buku dikeluarkan. Mereka mula menulis menyelesaikan tugasan yang diberi. Ramai yang komplen, "Cikgu, saya kena balik sekarang. Nanti tertinggal van."
Maafkan cikgu. Untuk kali ini sahaja, cikgu terpaksa buat begini. Supaya kamu tahu hargai dan gunakan masa yang ada. Supaya kamu tahu perlunya mengikut arahan sejak awal. Supaya kamu tak fikir cikgu ni senang je kamu boleh pijak.

* * * * *

Tapi sungguh berbeda anak-anak hari ini. Kerja rumah (homework) tak boleh bagi sebab memang tak akan siap. Buku juga tak boleh bagi mereka bawa balik sebab nanti bila kita minta, macam-macam alasan tertinggal buku. Soalan latihan pun hanya boleh bagi 5 soalan sahaja..???? WHATTTT???!!!
5 soalan pun, ramai yang tak siap. Bukan tak reti jawab, tapi langsung tak cuba jawab.

Entahlah. Pelik dengan budak-budak zaman sekarang. Minta buat latihan 2 soalan aje pun (ada a hingga d) tapi mereka kata banyak. Zaman saya dulu, homework sampai 15 soalan (ada a hingga d), ataupun 30 soalan. Meskipun banyak, tetap cuba siapkan. Walaupun komplen pada cikgu yang homework banyak, tetap juga cuba selesaikan. Sebab takut nanti cikgu marah. Hari ni, murid langsung tak hormat guru.
Mungkin kerana saya hanya guru ganti? - sigh -

' Jahat sangatkah tindakan saya menahan mereka pulang sehingga mereka menghantar buku? Sedangkan sedari awal arahan dikeluarkan, mereka langsung tak ambil peduli...'